Anugerah Bintang Popular BH 2014

Berita

Kejayaan paling gemilang

19 April 2015 @ 12:00AM

Kali ketiga dijulang Bintang Paling Popular, Shaheizy Sam ingin harumkan negara.

Assalamualaikum dan salam sejahtera Sam ucapkan kepada semua pembaca, bersama harapan semoga anda berada dalam keadaan sihat di samping keluarga tercinta. Alhamdulillah dan terima kasih kepada pihak BH kerana memberi penghormatan kepada Sam untuk mencoret sepatah dua kata dalam ruangan ini.
  
Seperti yang diketahui, Anugerah Bintang Popular BH 2014 (ABPBH 2014) baru saja berlangsung pada 5 April lalu. Syukur Sam kepada Allah kerana diberikan rezeki sekali lagi apabila dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular buat kali ketiga. Semua ini tidak mungkin berlaku tanpa sokongan dan usaha yang datang daripada penyokong dan peminat.
  
Sekali lagi Sam ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada The Magician Family, kelab peminat yang lain dan semua penyokong walaupun di mana anda berada.
  
Berada di pentas ABPBH sepanjang lima tahun ini memberikan Sam pengalaman yang tak mungkin Sam dapat dilupakan sepanjang hayat. Kejutan yang diberi sepanjang pembabitan Sam ini meninggalkan kesan yang sangat besar. Terutama sekali pada ABPBH 2014, baru-baru ini yang memberikan Sam undian sebanyak 265,703, meningkat tiga kali ganda berbanding dua tahun lalu.
  
Ia membuatkan Sam terharu dengan sokongan yang diberikan. Tidak disangkasangka, tetapi ini adalah qada dan qadar Allah. Usaha yang dilakukan oleh kami, anak seni demi menjadi yang terbaik, namun belum tentu penghormatan ini diberikan tanpa izin Allah dan sokongan daripada penyokong setia ini.
  
Tiada perkataan atau wang ringgit yang dapat Sam balas kepada anda semua yang telah bersusah payah memberikan sokongan selama ini, kecuali doa dan masa yang diluangkan untuk bersama. Itu saja yang dapat Sam berikan.
  
Ikhlas jaga hubungan
  
Tidak salah untuk kita berusaha menjadi yang terbaik dalam kerjaya. Begitu juga sesama manusia kerana keikhlasan menjaga hubungan baik dengan masyarakat, insya-Allah akan membuahkan hasil yang diberkati. Rezeki ada di mana-mana untuk setiap hamba-Nya tetapi yang paling penting, ikhlas dengan apa yang dibuat.
  
Jangan menganiaya atau berdengki sesama manusia. Itulah pegangan Sam selama ini. Ikhlas yang kita beri, ikhlas juga yang kita terima, insya-Allah.
  
Dunia sememangnya adil. Dalam kegembiraan, pasti ada perasaan sebaliknya yang datang kepada kita. Bidang apa sekalipun yang diceburi, kita tidak akan dapat lari daripada hasad dengki dan fitnah. Sedikit nasihat daripada Sam dengan harapan dapat membantu anda semua.
  
Bersabar kerana setiap dugaan itu datang daripada-Nya, sekadar menguji supaya kita mengawal diri daripada menjadi manusia yang penuh dengan kemarahan. Secara tidak langsung, perasaan yang tidak dikawal itu akan bertukar menjadi tingkah laku yang tidak elok.
  
Jauhkan diri daripada berfikir atau berniat untuk membalas perbuatan yang tidak elok. Tanamkan fikiran yang positif, kita sebenarnya jauh lebih baik daripada itu. Apa juga kejadian yang melanda diri kita, pasti ada hikmah di sebaliknya. Terimalah dengan hati yang terbuka dan reda.
  
Yakin Allah akan sentiasa melindungi hamba-Nya yang dianiaya. Keyakinan ini juga mampu menjadikan kita lebih tenang dan mampu tersenyum dengan segala dugaan yang datang, insya-Allah.
  
Kontrak tamat
  
Bercakap mengenai kerjaya, sudah hampir lima bulan kontrak Sam bersama pihak pengurusan MIG tamat.
  
Pengalaman yang amat baik selama empat tahun bersama mereka tidak mungkin dapat dilupakan. Setiap ilmu yang diberikan kepada Sam selama ini, setiap sokongan mereka tidak dinafikan menjadikan Sam lebih matang dalam kehidupan.
  
Doa untuk warga MIG
  
Tiada kata yang dapat menunjukkan penghargaan Sam terhadap mereka, terutama sekali Major (K) David Teo. Sam doakan setiap warga MIG berada dalam keadaan yang terbaik dan semoga segala hasrat mereka untuk membantu Industri hiburan tanah air dipermudahkan.
  
Insya-Allah, seandainya ada rezeki untuk bersama lagi, pasti akan bersama. Mungkin masa dan waktu yang sesuai belum tiba untuk kita berbincang lebih lanjut mengenai kerjaya. Terima kasih sekali lagi Sam ucapkan.
  
Sampai di sini sahaja coretan Sam kali ini. Terlalu banyak perkara yang ingin dikongsikan bersama pembaca, tetapi tidak dapat Sam tunaikan kerana masa yang sangat terhad. Insya-Allah, ada rezeki kita pasti berjumpa lagi. Salam.
  
P/S: Sudah tiba masanya Sam memperbaharui corak kerjaya (rebranding), doakanlah supaya Sam dapat membanggakan negara suatu hari nanti. Amin...

Sumber: Berita Harian

www.bharian.com.my