Anugerah Bintang Popular BH 2014

Berita

Sam tak sabar

14 April 2015 @ 12:00AM

Teruja mahu pandu Toyota Camry Hybrid selepas dinobatkan Bintang Paling Popular, anggap kenderaan sesuai untuk keluarga besar.

Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014, Shaheizy Sam tidak sabar memandu kereta Toyota Camry Hybrid sumbangan UMW Toyota Motor Sdn Bhd yang dimenanginya.
  
Pelakon yang menyandang gelaran utama ABPBH buat kali ketiga itu berkata, kereta istimewa itu akan dikongsi bersama ahli keluarga.
  
Sam yang berjanji akan menjaga kereta kemenangan itu sebaik mungkin memberitahu, beliau teruja merasai pengalaman memandu kereta jenis hybrid. Selain itu, faktor keluasan kereta Camry juga pasti memudahkan beliau menggunakannya dalam memenuhi tuntutan kerja.
  
"Bagi saya, Toyota Camry Hybrid ini amat sesuai untuk mereka yang memiliki keluarga besar seperti saya. Ia akan memudahkan kami sekeluarga untuk keluar bersama.
  
"Kami tidak perlu bimbang terpaksa berhimpit-himpit kerana kereta ini mempunyai keluasan yang memuaskan," katanya.
  
Sam berkata, beliau menggemari Camry kerana jenamanya sudah dikenali dan dipercayai.

"Jenama Toyota mudah diselenggara. Jadi, saya tidak perlu risau mengenai kos penyelenggaraan yang tidak munasabah seperti sesetengah jenama lain," katanya.
  
Impian tembusi pasaran antarabangsa
  
Andai tahun lalu, Sam pulang dengan tangan kosong, kali ini, rezeki kembali berpihak kepada anak muda ini.
  
Pada edisi ke-28 APBBH, Sam merampas dua trofi daripada tangan aktor kacak Aaron Aziz termasuk bagi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular.
  
Bagi Sam, kemenangan itu tidak akan mengubah pendiriannya yang mahu bersikap lebih selektif dalam memilih watak.
  
Sam mengaku tidak bimbang andai kemenangan itu mengakibatkan beliau hilang peminat.
  
Ujar Sam, beliau perlu memilih watak kerana baginya, zaman dirinya bekerja keras mengumpul harta sudah lama berlalu. Sasaran Sam adalah untuk mencari karya terbaik. Ini penting supaya impian untuk meluaskan bakat lakonan ke luar negara tercapai.
  
"Alhamdulillah, walaupun sudah hampir setahun senyap, saya bersyukur apabila peminat belum memadamkan nama saya daripada kotak ingatan mereka.
  
"Saya membuat keputusan untuk bersikap selektif sejak setahun lalu. Ini kerana saya sedar peminat sudah mula bosan melihat kekerapan wajah saya di layar perak.
  
"Dulu saya perlu bekerja keras kerana faktor kewangan dan tanggungjawab terhadap keluarga. Saya tidak boleh memikirkan perut saya saja. Saya ada mummy dan adik-beradik, saya mahu melihat mereka hidup senang.
  
"Walaupun belum lagi sampai ke tahap jutawan, saya terpaksa membuat keputusan menjadi lebih selektif demi kelangsungan kerjaya lakonan," katanya.
  
Sam tidak segan berkongsi impian besarnya sebagai pelakon.
  
"Sekarang saya sedang berlakon dalam filem Interchange yang diarahkan Din Said. Saya optimis filem ini dapat membantu saya mengejar cita-cita mencipta nama di persada antarabangsa," katanya.
  
Siti Saleha terkejut menang lagi
  
Turut berkongsi kejayaan pada ABPBH 2014 adalah pemenang kategori Pelakon Filem Wanita Popular, Siti Saleha.
  
Pelakon berdarah kacukan ini berjaya menggenggam trofi itu dua tahun berturut-turut. Menurut Siti Saleha, sejak dulu lagi, beliau mempraktikkan sikap selektif dalam memilih watak. Ini kerana beliau mahu menjaga kredibiliti sebagai pelakon.
  
Kata Siti Saleha, tidak kira filem mahupun drama, beliau mengamalkan formula yang sama. Justeru seperti Sam, Siti Saleha juga tidak menyangka masih mendapat sokongan kuat peminat.
  
Ganjaran kerja keras
  
Baginya, anugerah umpama ganjaran kepada seseorang artis selepas penat bekerja.
  
"Segala tenaga dan masa yang dicurahkan selama ini terasa cukup berbaloi dengan kemenangan ini.
  
"Sebetulnya, saya tidak mengharapkan kemenangan kerana pelakon lain semuanya hebat-hebat belaka," katanya.
  
Dalam teruja, Siti Saleha risau memikirkan pencapaian industri seni yang dilihatnya makin membimbangkan.
  
"Saya berharap industri filem dapat lebih berkembang. Walaupun pelbagai spekulasi yang diperkatakan mengenai industri perfileman tanah air, namun ia tidak akan menyekat minat saya untuk terus berlakon filem," katanya.

Sumber: Berita Harian

www.bharian.com.my